Thursday, May 7, 2009

Ku Lihat Layu Dalam Melayu..Benarkah?

Assalammualaikum..


Tajuk diatas sebenarnya menjadi polemik budaya bangsa Melayu masakini. Tidak dapat tidak, Melayu pasti dikait, dijalin, dipadankan, digandingkan, dan dihubungkan dengan pelbagai konotasi negatif.

Apa? Tiada yang baik-baikkah yang dapat dijadikan panduan ketika berbicara mengenai bangsa agung ini? Ya! BANGSA AGUNG!


Namun kini, hampir tiada sisa mahupun jejak yang boleh dijadikan panduan ataupun tanda yang bangsa agung ini dahulunya pernah menjadi tuan rumah menjadi bagi perhimpunan semua saudagar-saudagar dari segenap pelosok dunia, baik dihujung timur mahupun diperbatasan barat. Juga, pernah menjadi tuan rumah untuk sebaran budaya dan bahasa.


Tome Pires, seorang penjelajah pada abad ke-14 (maaf sekiranya saya tersilap, sila betulkan kalau tersilap, sila tambah pada mana-mana yang kekurangan) pernah mencatatkan, di pelabuhan Melaka boleh didengar lebih dari 80 jenis bahasa. Bahasa-bahasa ini pula tidak termasuk dengan dialek-dialek suku atau kaum. Ini merupakan sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa Melaka yang menjadi tempat diam suku Melayu, gah menjadi Megapolitan tempat percampuran budaya, bahasa dan minda.


Itu sejarah, sudah 4 kurun lebih. Tapi bukankah kegemilangan itu boleh dibangkitkan dan diusahakan kembali?


Bagaimana? Ilmu dan kekentalan jatidiri. Ya, melalui ilmu sahajalah yang dapat membawa kita semua ke zaman itu. Bahkan lebih berjaya. Tukar semua kemungkinan kepada kenyataan.



Aku lihat layu dalam Melayu
Aku pasti bukan aku seorang sahaja yang nampak
Ada juga bercadang bertanya tuan punya
Tapi bercampur risau dengan tak tergamak
Nanti di kata tak bersyukur
Di kata tak sedar diri
Jadi aku menyendiri memerhati
Dan akhirnya mengakui
Yang kita sendiri membiarkan bunga raya layu ke kanan
Dan dibiar bunga tak cantik mekar di kiri

Aku lihat layu dalam Melayu
Tanah air kita yang punya kita siram kita baja
Tapi angin api kita lupa
Mereka merancang masa menjilat bangsa
13 Harimau bertukar menjadi mangsa
Kita lupa nenek moyang kaya raya
Jangan sekali- kali di gadai harta bendanya
Ku lihat layu dalam Melayu
Ku lihat layu dalam Melayu
Ku lihat layu dalam Melayu

Takkan Melayu hilang di dunia
Ya.Tapi apa guna tak hilang di dunia
Kalau kewujudan tidak dirasa
Petah berbahasa kudrat tak berjasa
Orang berbudi kita hanya tahu merasa
Selalu lari bila di rapat
Selalu malu bila soalan di aju
Selalu segan memberi pendapat
Rela mengikut dari meneraju
Belum nyanyi sudah bersorak
Suka berjanji dalam borak
Bukan kata tak ada otak
Cuma tak berfikir di luar kotak
Ku lihat layu dalam melayu
Ku lihat layu dalam melayu
Ku lihat layu dalam melayu

Aku jadi sayu
Bunga menangis dia mendayu
Mahu jadi cantik tapi ragu
Aku merayu
Bangunlah semula hidup kembali
Jangan tunggu matahari mati
Cepatlah mekar sebelum terlerai
Perjuangan kita belum selesai
Perjuangan kita belum selesai
Perjuangan kita belum selesai

"..Sajak nukilan Malique. Dipinjam dari Muii.org"


Setujukah anda? Tepuk dada, lihat sekitar dan dugalah minda. Kalau anda hidup dan bernafas, ubahlah keadaan ini.



Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

...Petikan dari sajak "Melayu" nukilan Sasterawan Negara Usman Awang..




Jadi bagaimana? Anda lihat Layu dalam Melayu?